Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

Patuhi Peraturan -Peraturan Dalam Memastikan Keselamatan Pengangkutan Air

​SIARAN AKHBAR

PATUHI PERATURAN-PERATURAN DALAM MEMASTIKAN KESELAMATAN PENGANGKUTAN AIR

Khamis, 03 Rabiulakhir 1439 / 21 Disember 2017:  Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dengan ini menekankan dan menegaskan lagi kepada semua pemilik, pengusaha dan pemandu bot laju dan perahu tambang di negara ini supaya akan dapat mematuhi peraturan-peraturan keselamatan yang telah ditetapkan termasuk yang berkaitan dengan had muatan dan juga jaket keselamatan bagi memastikan perahu-perahu yang digunakan terjamin keselamatannya dan juga untuk penumpang-penumpang.
Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam berserta agensi penguatkuasa yang lain akan berkerjasama untuk meningkatkan dan memperketatkan lagi operasi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan sistem pengangkutan di air terjamin untuk penggunaan orang ramai dalam rutin harian. PBMP akan mengambil tindakan terhadap pemandu-pemandu perahu tambang yang tidak mematuhi peraturan serta syarat-syarat keselamatan yang ditetapkan.  
Demi keselamatan dan kesejahteraan orang ramai, pemandu-pemandu bot laju dan perahu tambang adalah dinasihatkan supaya mengurangkan had laju dan sentiasa berhati-hati terutama semasa keadaan cuaca tidak menentu. Pemilik-pemilik bot laju dan perahu tambang juga diingatkan mengenai kepentingan menyediakan kelengkapan alat-alat keselamatan seperti jaket keselamatan, alat pemadam api, pengayuh dan lampu navigasi terutama sekali semasa cuaca berkabus dan di waktu malam.
Orang ramai yang menggunakan bot laju dan perahu tambang di Sungai Brunei untuk rutin harian juga diingatkan untuk memakai jaket keselamatan. Pemakaian jaket keselamatan boleh menyelamatkan nyawa sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti bot atau perahu karam atau terbalik. Semua langkah berjaga-jaga termasuk memakai jaket keselamatan dan penempatannya ditempat yang lebih mudah dicapai ketika berada di dalam perahu harus diberikan perhatian yang berat.
Pemilik-pemilik dan pemandu-pemandu bot laju dan perahu tambang serta orang ramai yang berminat untuk membeli alat-alat keselamatan, dan bagi sebarang aduan dan pertanyaan bolehlah menghubungi Bahagian Penguatkuasaan ditalian hotline 8721347 untuk mendapatkan keterangan lanjut.

Attachments